Memaparkan catatan dengan label kenangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kenangan. Papar semua catatan

Jumaat, 1 April 2011

...Kehidupan 2...



Selain daripada tempat untuk berkubang, sebenarnya kolam atau tali air yang terdapat di kampung kami adalah lubuk untuk mencari rezeki...pelbagai jenis ikan air tawar yang menghuni di dalamya...sebut sahaja ikan haruan, puyu, sepat dan keli...insyaallah, jika rajin untuk mencari...habuanya pasti lumayan....

Saya juga tidak terkecuali....selalunya saya akan mengikut arwah bapak mengalau (arwah bapak yang cakap, saya ikut saja) ikan haruan....biasanya aktiviti ini dijalankan pada hujung minggu.... cara yang cukup mudah...hanya perlukan sebatang buluh,tali tangsi dan mata kail....umpan selalunya arwah bapak gunakan anak katak....perlahan-lahan arwah bapak akan layurkan pancing ke dalam air dan tidak sampai beberapa minit...pasti pancing arwah bapak akan di sambar dek haruan....saya melompat keseronokkan...alhamdulillah rezeki kami sekeluarga...tapi tugas saya adalah menjaga anak katak dan ikan supaya tidak melompat keluar...

Saya juga cukup gembira selepasnya habisnya musim menuai...waktu ini kolam akan mula kering airnya....  aktiviti menimba.... arwah bapak dan jiran tetangga akan menimba kolam yang hampir kering airnya....dari pagi hingga ke petang.... waktu itu...masih gunakan kaedah menimba dimana air akan di timba keluar hingga kolam agak kering (mungkin sebab itu ia di panggil menimba) dan mudah untuk menangkap ikan.....waktu ini akan kelihatan pelbagai jenis ikan melompat-lompat dengan meriahnya.... memang banyak.... para-para ibu pula akan sibuk menyiang ikan dan dibahagi-bahagikan sesama mereka....kami anak-anak...biasalah buat kotor satu badan.... sebenarnya ada banyak cara untuk menangkap ikan-ikan ini....pasang bubu, tempirai, menangguk dan mengunjun....

pasang bubu & tempirai  : tak minat, tak mencabar
mengunjun                     : pun saya tak minat,
                                        berat masa nak angkat
menangguk                     : saya suka sebab boleh
                                        ikut mak pergi bendang....he he he

Isnin, 31 Mei 2010

...buat dia yang tersayang...

Memiliki seraut wajah yang garang, berkumis tebal, jarang memberikan senyuman mahupun gelak tawa, aduh...cukup mengerunkan. Tangan kasar itu pernah memukul, merotan mahupun memulas setiap cuping telinga anak-anaknya. Setiap kali mendengar deruman enjin kereta memasuki halaman rumah, serta merta semuanya kelihatan baik sahaja...
Walaupun hakikatnya dia seorang yang cukup garang dan tegas, semuanya untuk kebaikan. Setiap yang dia lakukan mempunyai alasan yang tersendiri. Tanggungjawab terhadap keluarga tidak pernah diabaikan. Sesusah manapun mencari rezeki bagi menyuap sebutir nasi ke mulut anak-anaknya,  dia tidak akan mengeluh. Lebih perit setiap kali menjelang musim perayaan dan sesi persekolahan bermula. Semuanya harus disediakan bermula dari anak sulung hingga yang kecil. Kami anak-anak sememangnya tidak memahami langsung, apa yang kami mahu semuanya baru. 
Dia mengidap penyakit yang cukup merbahaya, Kencing Manis. Bertahun-tahun dia melawan dan bertahan demi memastikan anak-anaknya dapat membesar dengan sempurna dan dapat melihat kejayaan anak-anaknya. Alhamdulillah anak sulung dia, berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Lebih membanggakan dia anak sulungnya lulusan luar negara. Dapat dilihat dengan jelas kebanggan itu dengan melihat riak di wajahnya serta caranya bercerita bersama teman-teman teksinya. Tetapi harapannya untuk melihat yang lain berjaya tidak kesampaian. Tuhan lebih menyayanginya. Penyakit itu terus merebak dan melumpuhkan pergerakkannya. Berbulan terbaring dan tidak dapat bergerak, kami dapat lihat kesengsaraan dia. Mungkin juga dia berdoa kepada tuhan supaya di cabut sahaja nyawanya, agar dia tidak perlu menyusahkan kami yang masih hidup. Di suatu subuh di bulan Mei, dia nazak dan akhirnya dia pergi menyahut seruan Illahi.

Buat Allahyarham Mohd Madabighi bin Hj Modzni, semoga rohmu aman disana dan ditempatkan di tempat mereka yang beriman.
(1997-2010)
*
*
*
*
*
*
*
Sukar untuk meneruskan penulisan ini kerana air mata membasahi pipi.....

Jumaat, 12 Februari 2010

...PEMALAS...

Seusia remaja, anak dara saya bukan seorang yang rajin untuk membuat semua kerja rumah. Saya akui adik lelaki saya beratus-ratus kali lebih rajin berbanding diri saya. Saya hanya melakukan perkara yang berkaitan dengan diri sahaja, membasuh kasut dan baju sekolah, kerana tiada siapa yang akan melakukan untuk saya. Tetapi perkara bijak yang saya lakukan ialah kesemua benda-benda ini saya masukkan ke dalam mesin basuh sahaja. Mudah dan senang.
Harian saya sibuk dengan aktiviti sekolah. Pagi seperti biasa ke sekolah dan sebelah petangnya ada latihan sukan hingga lewat petang. Sebelah malamnya pula untuk saya menyiapkan kerja sekolah (jika rajin). Alasan sibuk sentiasa saya berikan kepada mak jika mak meminta saya membantunya. Hujung minggu pula saya banyak habiskan masa bersama kawan-kawan keluar bersantai.
Bilik tidur sendiri tidak pernah saya kemas. Saya hanya bergantung harap pada mak. Leteran mak tidak pernah saya ambil peduli. Jika sebelah malamnya saya akan terjaga secara tiba-tiba kerana ada lipas yang melalui muka saya, adalah perkara biasa. Saya juga sudah lali dengan bunyi tikus yang keluar masuk dari bilik saya. Namun suatu hari kata-kata mak membuatkan saya sedikit tersentap.

"kalau hang dok malas macam ni, memang tak dak laki nak kawin dengan hang"....

kawin....

Selasa, 19 Januari 2010

FELDA IJOK, SELAMA


Setiap dua minggu sekali bapak akan membawa kali sekeluarga pulang ke kampung di sebelah mak.  Rumah arwah tokwan dan nenek terletak di Felda Ijok, Selama Perak. Perjalanan dari rumah mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Selalunya kami sekeluarga akan bertolak seawal pagi dan lewat petang baru balik semula ke rumah. Perjalanan yang panjang itu akan kami meriahkan dengan menyumbang suara yang pastinya cukup sumbang bila di dengar. 
Memandangkan rumah tokwan terletak di dalam kawasan felda, perjalanan ke rumah tokwan akan di hiasai terlebih dahulu dengan pepohon getah dan kelapa sawit. Di sekeliling rumah pula, tokwan menanam pelbagai jenis buahan tempatan. Ada durian, rambutan, langsat, jambu dan manggis. Setiba sahaja musim buahan, bonet kereta bapak akan penuh dengan pelbagai jenis buah-buahan. Itu tidak termasuk dengan pemberian jiran tetangga.
Setiap kali bapak mengajak saya dan bangcik untuk ke rumah tokwan, kami memang tidak pernah menolak. Memang kami ada tujuan bila ke sana. Selepas jumpa dan bersalam dengan mereka,  duduk dalam lima belas minit, kami akan hilang. Kami menuju ke sungai yang lebih kurang 200 meter dari rumah tokwan.  Bermandi-manda di sungai di rumah tokwan memang menyeronokkan. Tidak terkata nikmatnya. Air yang bersih dan jernih serta di kelilingi dengan dusun buah-buahan boleh membuatkan kami leka dan jika bapak tidak datang menjemput kami dengan sebatang kayu, kami boleh mandi hingga ke petang. Sebelah petangnya pula, kami akan meronda-ronda di kawasan felda bersama kawan-kawan.
Jika tokwan pula yang mempelawa kami untuk tinggal bersama mereka pada musim cuti sekolah, juga tidak pernah kami menolak. Kami tidak akan merasa bosan kerana sememangnya kami mempunyai ramai kawan di sana dan aktiviti kami akan penuh dari pagi hingga ke petang. Perkara yang paling saya gemari jika tinggal bersama mereka selain mandi sungai ialah semasa menangkap ayam kampung. Selalunya nenek yang suka menangkap ayam berbanding tokwan. Nenek akan tunggu sehingga lewat petang. Kesemua ayam-ayam tadi akan bertenggek di dahan pokok rambutan. Berbekalkan beberapa ketul batu, perlahan-lahan kami akan menuju ke pokok rambutan. Semasa ayam sedang leka, nenek sepantas kilat akan membaling batu ke arah ayam tersebut. Lantas kami juga turut membantu. Selalunya balingan nenek yang paling tepat.  Ayam yang terkena batu tidak lagi boleh berlari laju. Dengan mudah nenek menangkap dan habuan kami untuk makan malam adalah nasi berlaukkan ayam kampung yang cukup enak.........

Isnin, 4 Januari 2010

TAHUN BARU-1987

Memasuki tahun 1987 adalah tahun yang amat berharga pada kehidupan saya. Bermula pada tahun inilah saya melangkah ke alam persekolahan. Pengalaman baru, baju baru, kasut sekolah baru dan semuanya baru, telah memberi semangat baru kepada saya. Memang saya tidak sabar untuk ke sekolah. Cerita dari kakak-kakak dan abang menambahkan lagi keinginan saya untuk sekolah.

Pada hari itu, bapak menghantar saya ke sekolah bersama dengan adik-beradik yang lain. Cuma yang bezanya, mereka menuju ke kelas masing-masing. Bapak mengiringi saya untuk pendaftaran darjah satu. Cikgu Sharipah yang menyambut kedatangan kami. Setelah selesai urusan pendaftaran dan pembayaran yuran, bapak memberi wang saku. Kemudian bapak berpesan:-

"Yoi, belajaq rajin-rajin tau. Bapak tak boleh tunggu hang kat sekolah. Bapak kena kerja. Deganq apa cikgu cakap. Jangan lawan cakap cikgu. Waktu rehat pi makan kat kantin. Kalau hang tak tau tanya kak ida atau abang. Nanti balik tunggu bapak depan sekolah. Bapak ambik.Bapak pi dulu".

Bapak meninggalkan saya dalam keadaan terkontang-kanting. Tapi saya bukan seperti murid yang lain, saya tidak menangis. Saya duduk di kerusi menunggu arahan cikgu yang seterusnya. Loceng pertama berbunyi dan kami dikehendaki beratur di tapak perhimpunan. Cikgu menyusun barisan kami. Saya di belakang sekali disebabkan ketinggian saya. Begitu juga dalam kelas. Saya tidak boleh duduk di hadapan kerana akan menjadi penghalang pada pemandangan bagi pelajar yang lebih rendah daripada saya.

Saya berbangga kerana dapat melalui hari pertama persekolahan dengan jayanya. Saya dapat mengharungi cabaran tanpa menyusahkan sesiapa pun. Walaupun kakak ada menjenguk saya di kelas tapi saya menyatakan bahawa saya ok. Saya menurut segala apa yang telah bapak pesan. Rekod disiplin saya bersih sehingga saya darjah 6.

-SEKOLAH KEBANGSAAN SERI SIAKAP, SIMPANG 3, KUALA KURAU, PERAK-

Selasa, 22 Disember 2009

Pra Sekolah




Seusia 5 dan 6 tahun bapak telah menghantar saya ke sekolah tadika. Bapak memilih tadika kemas. Sememangnya pada zaman itu tadika kemas yang paling popular di tempat saya. Sengaja bapak berbuat begitu dengan alasan saya dapat mendisiplinkan diri dari awal. Usia 5 tahun saya di hantar di tadika Batu 7 dan usia 6 tahun di tadika Simpang 3. Sekolah bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pukul 11.30 pagi. Jangka waktu yang cukup singkat tetapi penuh dengan ilmu pengetahuan. Memang seronok dapat ke sekolah. Duduk dalam bulatan yang besar untuk perkenalkan diri adalah sesuatu yang amat menyeksakan saya pada waktu itu. Walaupun masih kanak-kanak tetapi perasaan malu itu tetap ada. Setiap pagi sebelum masuk ke kelas, kami akan bersukan dan membaca ikrar. Acara sukan yang paling saya minati ialah jalan itik. Di sebabkan saya dalam kategori pelajar yang tinggi maka saya dapat melangkah dengan panjang dan sering menjadi juara.
Sejujurnya di awal pendidikan inilah saya mengenali apa itu ABC dan 123. Saya tidak pernah mendapat semua itu di rumah. Bukan tiada kesempatan untuk belajar dengan kakak-kakak dan abang tetapi saya lebih sibuk untuk bermain.  Setelah dapat mengenali apa itu huruf, akhirnya saya dapat mengeja sedikit demi sedikit. Selain itu kami juga didedahkan dengan aktiviti seperti menyanyi, mewarna, dan bercerita. Juga menjadi satu kenangan manis adalah semasa waktu makan, kami akan beratur untuk mengambil makanan dan minuman. Tidak pernah berebut-rebut. Di sekolah saya menjadi seorang yang cukup berdisiplin. Menjadi masalah apabila saya pulang ke rumah, ia menjadi sebaliknya. Semuanya menjadi haru-biru. Itulah yang membuatkan bapak pening kepala. Rekod di sekolah cukup bersih tetapi di rumah tetap tidak berubah.

Namun di hujung tahun tadika, saya di kejutkan dengan sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan. Kami beramai-ramai duduk di dalam bulatan yang besar dan harus menunjukkan bakat masing-masing. Ada yang menyanyi, menari, berlakon dan bercerita. Semunya berjalan lancar sehingga ada seorang pelajar lelaki telah melakukan aksi terlampau. Dengan tidak ada perasaan bersalah, dia melondehkan seluarnya dan menunjukkan aksi tarian bogel. Kami semua menjerit. Saya fobia untuk ke sekolah.


Khamis, 26 November 2009

Raya Korban


Bagi kami adik-beradik tiada perbezaan antara Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Korban. Ke dua-duanya mesti disambut dalam suasana yang meriah. Menjelang malam Hari Raya Korban kami akan bermain mercun dan bunga api, cuma yang bezanya tiada lampu pelita sahaja untuk menghiasi halaman rumah. Mak di dapur sibuk menyediakan juadah raya. Nasi impit, kuah kacang, pulut daun pisang dan rendang akan siap tersedia di atas meja di pagi raya.
Di pagi raya, melihat senario orang kampung mengejar lembu yang terlepas dari tambatan adalah perkara biasa atau melihat kepayahan orang kampung menarik keluar lembu yang terjatuh di dalam parit adalah sesuatu yang melucukan pada kami. Selepas sembahyang sunat raya, bapak dan abang akan bersiap-siap menyertai orang kampung untuk menyertai ibadah korban. Walaupun telah dilarang oleh bapak untuk tidak sibukkan diri tetapi tiada apa yang dapat menghalang kami untuk tidak pergi ke tempat lembu yang akan disembelih. Selepas bapak pergi kami akan menyusul dari belakang. Jelingan tajam bapak tidak kami hiraukan, yang penting kami dapat melihat lembu di sembelih. Kami akan menunggu sehingga semuanya selesai. Bapak akan mengarahkan kami untuk membawa pulang bahagian keluarga kami. Memang rezeki, bapak akan dapat membawa pulang tulang kaki lembu. Mak akan membuat sup tulang. Bangcik akan ditugaskan untuk menyalakan api. Bapak lebih suka sup dimasak menggunakan kayu api berbanding dapur gas, lebih sedap katanya.
Selalunya memang setiap tahun bapak mengambil bahagian menyertai ibadah korban untuk mengorbankan anak-anaknya yang seramai 9 orang ini. Bila tiba masa saya, bersama bapak saya di bawa melihat lembu yang akan di korbankan.Saya tanya bapak:-

Bapak, pasaipa lembu dikyoi kaler hitam

padanlah dengan hang....