Selasa, 19 Januari 2010

FELDA IJOK, SELAMA


Setiap dua minggu sekali bapak akan membawa kali sekeluarga pulang ke kampung di sebelah mak.  Rumah arwah tokwan dan nenek terletak di Felda Ijok, Selama Perak. Perjalanan dari rumah mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Selalunya kami sekeluarga akan bertolak seawal pagi dan lewat petang baru balik semula ke rumah. Perjalanan yang panjang itu akan kami meriahkan dengan menyumbang suara yang pastinya cukup sumbang bila di dengar. 
Memandangkan rumah tokwan terletak di dalam kawasan felda, perjalanan ke rumah tokwan akan di hiasai terlebih dahulu dengan pepohon getah dan kelapa sawit. Di sekeliling rumah pula, tokwan menanam pelbagai jenis buahan tempatan. Ada durian, rambutan, langsat, jambu dan manggis. Setiba sahaja musim buahan, bonet kereta bapak akan penuh dengan pelbagai jenis buah-buahan. Itu tidak termasuk dengan pemberian jiran tetangga.
Setiap kali bapak mengajak saya dan bangcik untuk ke rumah tokwan, kami memang tidak pernah menolak. Memang kami ada tujuan bila ke sana. Selepas jumpa dan bersalam dengan mereka,  duduk dalam lima belas minit, kami akan hilang. Kami menuju ke sungai yang lebih kurang 200 meter dari rumah tokwan.  Bermandi-manda di sungai di rumah tokwan memang menyeronokkan. Tidak terkata nikmatnya. Air yang bersih dan jernih serta di kelilingi dengan dusun buah-buahan boleh membuatkan kami leka dan jika bapak tidak datang menjemput kami dengan sebatang kayu, kami boleh mandi hingga ke petang. Sebelah petangnya pula, kami akan meronda-ronda di kawasan felda bersama kawan-kawan.
Jika tokwan pula yang mempelawa kami untuk tinggal bersama mereka pada musim cuti sekolah, juga tidak pernah kami menolak. Kami tidak akan merasa bosan kerana sememangnya kami mempunyai ramai kawan di sana dan aktiviti kami akan penuh dari pagi hingga ke petang. Perkara yang paling saya gemari jika tinggal bersama mereka selain mandi sungai ialah semasa menangkap ayam kampung. Selalunya nenek yang suka menangkap ayam berbanding tokwan. Nenek akan tunggu sehingga lewat petang. Kesemua ayam-ayam tadi akan bertenggek di dahan pokok rambutan. Berbekalkan beberapa ketul batu, perlahan-lahan kami akan menuju ke pokok rambutan. Semasa ayam sedang leka, nenek sepantas kilat akan membaling batu ke arah ayam tersebut. Lantas kami juga turut membantu. Selalunya balingan nenek yang paling tepat.  Ayam yang terkena batu tidak lagi boleh berlari laju. Dengan mudah nenek menangkap dan habuan kami untuk makan malam adalah nasi berlaukkan ayam kampung yang cukup enak.........

Tiada ulasan: