Selasa, 2010 Januari 19

FELDA IJOK, SELAMA


Setiap dua minggu sekali bapak akan membawa kali sekeluarga pulang ke kampung di sebelah mak.  Rumah arwah tokwan dan nenek terletak di Felda Ijok, Selama Perak. Perjalanan dari rumah mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Selalunya kami sekeluarga akan bertolak seawal pagi dan lewat petang baru balik semula ke rumah. Perjalanan yang panjang itu akan kami meriahkan dengan menyumbang suara yang pastinya cukup sumbang bila di dengar. 
Memandangkan rumah tokwan terletak di dalam kawasan felda, perjalanan ke rumah tokwan akan di hiasai terlebih dahulu dengan pepohon getah dan kelapa sawit. Di sekeliling rumah pula, tokwan menanam pelbagai jenis buahan tempatan. Ada durian, rambutan, langsat, jambu dan manggis. Setiba sahaja musim buahan, bonet kereta bapak akan penuh dengan pelbagai jenis buah-buahan. Itu tidak termasuk dengan pemberian jiran tetangga.
Setiap kali bapak mengajak saya dan bangcik untuk ke rumah tokwan, kami memang tidak pernah menolak. Memang kami ada tujuan bila ke sana. Selepas jumpa dan bersalam dengan mereka,  duduk dalam lima belas minit, kami akan hilang. Kami menuju ke sungai yang lebih kurang 200 meter dari rumah tokwan.  Bermandi-manda di sungai di rumah tokwan memang menyeronokkan. Tidak terkata nikmatnya. Air yang bersih dan jernih serta di kelilingi dengan dusun buah-buahan boleh membuatkan kami leka dan jika bapak tidak datang menjemput kami dengan sebatang kayu, kami boleh mandi hingga ke petang. Sebelah petangnya pula, kami akan meronda-ronda di kawasan felda bersama kawan-kawan.
Jika tokwan pula yang mempelawa kami untuk tinggal bersama mereka pada musim cuti sekolah, juga tidak pernah kami menolak. Kami tidak akan merasa bosan kerana sememangnya kami mempunyai ramai kawan di sana dan aktiviti kami akan penuh dari pagi hingga ke petang. Perkara yang paling saya gemari jika tinggal bersama mereka selain mandi sungai ialah semasa menangkap ayam kampung. Selalunya nenek yang suka menangkap ayam berbanding tokwan. Nenek akan tunggu sehingga lewat petang. Kesemua ayam-ayam tadi akan bertenggek di dahan pokok rambutan. Berbekalkan beberapa ketul batu, perlahan-lahan kami akan menuju ke pokok rambutan. Semasa ayam sedang leka, nenek sepantas kilat akan membaling batu ke arah ayam tersebut. Lantas kami juga turut membantu. Selalunya balingan nenek yang paling tepat.  Ayam yang terkena batu tidak lagi boleh berlari laju. Dengan mudah nenek menangkap dan habuan kami untuk makan malam adalah nasi berlaukkan ayam kampung yang cukup enak.........

Isnin, 2010 Januari 04

TAHUN BARU-1987

Memasuki tahun 1987 adalah tahun yang amat berharga pada kehidupan saya. Bermula pada tahun inilah saya melangkah ke alam persekolahan. Pengalaman baru, baju baru, kasut sekolah baru dan semuanya baru, telah memberi semangat baru kepada saya. Memang saya tidak sabar untuk ke sekolah. Cerita dari kakak-kakak dan abang menambahkan lagi keinginan saya untuk sekolah.

Pada hari itu, bapak menghantar saya ke sekolah bersama dengan adik-beradik yang lain. Cuma yang bezanya, mereka menuju ke kelas masing-masing. Bapak mengiringi saya untuk pendaftaran darjah satu. Cikgu Sharipah yang menyambut kedatangan kami. Setelah selesai urusan pendaftaran dan pembayaran yuran, bapak memberi wang saku. Kemudian bapak berpesan:-

"Yoi, belajaq rajin-rajin tau. Bapak tak boleh tunggu hang kat sekolah. Bapak kena kerja. Deganq apa cikgu cakap. Jangan lawan cakap cikgu. Waktu rehat pi makan kat kantin. Kalau hang tak tau tanya kak ida atau abang. Nanti balik tunggu bapak depan sekolah. Bapak ambik.Bapak pi dulu".

Bapak meninggalkan saya dalam keadaan terkontang-kanting. Tapi saya bukan seperti murid yang lain, saya tidak menangis. Saya duduk di kerusi menunggu arahan cikgu yang seterusnya. Loceng pertama berbunyi dan kami dikehendaki beratur di tapak perhimpunan. Cikgu menyusun barisan kami. Saya di belakang sekali disebabkan ketinggian saya. Begitu juga dalam kelas. Saya tidak boleh duduk di hadapan kerana akan menjadi penghalang pada pemandangan bagi pelajar yang lebih rendah daripada saya.

Saya berbangga kerana dapat melalui hari pertama persekolahan dengan jayanya. Saya dapat mengharungi cabaran tanpa menyusahkan sesiapa pun. Walaupun kakak ada menjenguk saya di kelas tapi saya menyatakan bahawa saya ok. Saya menurut segala apa yang telah bapak pesan. Rekod disiplin saya bersih sehingga saya darjah 6.

-SEKOLAH KEBANGSAAN SERI SIAKAP, SIMPANG 3, KUALA KURAU, PERAK-

Selasa, 2009 Disember 22

BanjarBest: Pra Sekolah

BanjarBest: Pra Sekolah

Pra Sekolah




Seusia 5 dan 6 tahun bapak telah menghantar saya ke sekolah tadika. Bapak memilih tadika kemas. Sememangnya pada zaman itu tadika kemas yang paling popular di tempat saya. Sengaja bapak berbuat begitu dengan alasan saya dapat mendisiplinkan diri dari awal. Usia 5 tahun saya di hantar di tadika Batu 7 dan usia 6 tahun di tadika Simpang 3. Sekolah bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pukul 11.30 pagi. Jangka waktu yang cukup singkat tetapi penuh dengan ilmu pengetahuan. Memang seronok dapat ke sekolah. Duduk dalam bulatan yang besar untuk perkenalkan diri adalah sesuatu yang amat menyeksakan saya pada waktu itu. Walaupun masih kanak-kanak tetapi perasaan malu itu tetap ada. Setiap pagi sebelum masuk ke kelas, kami akan bersukan dan membaca ikrar. Acara sukan yang paling saya minati ialah jalan itik. Di sebabkan saya dalam kategori pelajar yang tinggi maka saya dapat melangkah dengan panjang dan sering menjadi juara.
Sejujurnya di awal pendidikan inilah saya mengenali apa itu ABC dan 123. Saya tidak pernah mendapat semua itu di rumah. Bukan tiada kesempatan untuk belajar dengan kakak-kakak dan abang tetapi saya lebih sibuk untuk bermain.  Setelah dapat mengenali apa itu huruf, akhirnya saya dapat mengeja sedikit demi sedikit. Selain itu kami juga didedahkan dengan aktiviti seperti menyanyi, mewarna, dan bercerita. Juga menjadi satu kenangan manis adalah semasa waktu makan, kami akan beratur untuk mengambil makanan dan minuman. Tidak pernah berebut-rebut. Di sekolah saya menjadi seorang yang cukup berdisiplin. Menjadi masalah apabila saya pulang ke rumah, ia menjadi sebaliknya. Semuanya menjadi haru-biru. Itulah yang membuatkan bapak pening kepala. Rekod di sekolah cukup bersih tetapi di rumah tetap tidak berubah.

Namun di hujung tahun tadika, saya di kejutkan dengan sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan. Kami beramai-ramai duduk di dalam bulatan yang besar dan harus menunjukkan bakat masing-masing. Ada yang menyanyi, menari, berlakon dan bercerita. Semunya berjalan lancar sehingga ada seorang pelajar lelaki telah melakukan aksi terlampau. Dengan tidak ada perasaan bersalah, dia melondehkan seluarnya dan menunjukkan aksi tarian bogel. Kami semua menjerit. Saya fobia untuk ke sekolah.


Rabu, 2009 Disember 09

perasaan


aku benci bila keadaan ini datang dalam hidup aku.kenapa begitu payah untuk manusia memahami apa yang aku rasakan.aku benci pada keadaan sekeliling.aku memang benci pada semuanya.bukan sekali dua tetapi kerap berlaku dalam hidup aku.kalau aku boleh lari meninggalkan semua, memang akan aku lakukan.biar puas hati aku.semuanya membuatkan aku tertekan.kemana sahaja semuanya tidak memberi ketenangan.tidak pernah untuk bertanya.membiarkan suasana dan masa terus berlalu tanpa pendamaian.adakah hanya mati jalan penyelesaian, agar diri tidak terus dihambat dosa???

Jumaat, 2009 Disember 04

bahasa banjar

"norul"

skretttttttttttttttttt......aku menekan brek kecemasan.....

"mana handak tulak"

diam

"padahkan pada uma-mu, kaina malam tulak aroh rumah ngah majid, berataan"

diam, dalam hati apa bendalah tok ni merepek, hishhhh

Itu adalah bahasa yang paling mudah bagi bahasa banjar. Tapi pada waktu itu bahasa banjar tersebut langsung tidak saya fahami. Memang saya berketurunan banjar. Nenek moyang memang berhijrah dari Indonesia ke Malaysia. Saya dibesarkan dikampung yang majoritinya orang banjar. Percakapan yang 100% dalam banjar. Namun dari segi  cara hidup dan pemakanan saya tidak pasti,  mungkin kehidupan telah banyak berubah kerana dipengaruhi oleh keadaan sekeliling. Yang tinggal cuma bahasanya sahaja. Namun yang pasti  makanan seperti wadai kepeng dan kalakatar adalah makanan orang banjar yang hingga sekarang saya masih dapat merasa kenikmatan kelazatannya.
Sejujurnya saya langsung tidak dapat menguasai bahasa banjar hingga sekarang. Memang sesuatu yang amat merugikan. Bapak dan mak memang bercakap dalam banjar jika mereka bercakap dengan tok, kenalan dan orang kampung. Dengan kami adik-beradik bapak lebih senang menggunakan bahasa biasa. Akhirnya kami lebih mahir dalam loghat utara. Mungkin kedudukan tempat tinggal yang berdekatan dengan negeri Kedah dan Pulau Pinang, loghat utara lebih mudah untuk dikuasai.
Hingga kini jika saya balik ke kampung dan menziarahi saudara-mara, mereka masih bercakap dalam bahasa banjar. Kalau saya faham maksudnya saya mampu untuk membalas semula tapi jika sebaliknya, saya hanya mampu memandang mak dan meminta belas kasihan untuk diterjemahkan. Saya sebenarnya memang seronok bila mendengar orang bercakap dalam bahasa banjar, terutamanya bagi golongan tua. Teratur, kemas dan lancar. Dari situ saya belajar sikit demi sedikit. Walaupun tidak mampu untuk menguasai sepenuhnya, sekurang-kurangnya saya dapat belajar.

Khamis, 2009 Disember 03

...taugeh the best...


Menu TAUGE untuk hidangan makan tengah hari mahupun makan malam sering kali dipandang sebelah mata oleh kebanyakan kita. Tauge dilihat sebagai hidangan yang langsung tidak menyelerakan.
Tapi tahukah anda, tauge yang kerap kali menjadi pilihan terakhir untuk dijadikan sayur ini sebenarnya mempunyai banyak khasiat. Tauge dikatakan mampu menyumbang kepada kesuburan lelaki dan wanita. Pengambilan tauge oleh kaum lelaki mampu membuatkan sperma yang dihasilkan oleh golongan ini makin baik. Begitu juga wanita, ia cukup berkesan membantu kesuburan telur yang dihasilkan.
Bagaimanapun, khasiat tauge tidak sekadar penyumbang kesuburan, ia juga terbukti melalui kajian mengandungi bahan yang dapat melumpuhkan bibit kanser, usus besar, pankreas dan juga penyakit leukimia.
Mengikut kajian yang dijalankan tauge sama ada dari jenis kacang hijau, alfalfa dan sebagainya mengandungi banyak unsur fitokimia ya berkhasiat. Salah satunya ialah kanavanin ( canavanine ), sejenis asid yang amino. Kanavanin, dikatakan mampu melumpuhkan bibit kanser leukimia, usus besar dan pankreas. Selain itu, tauge juga mempunyai estrogen semulajadi berfungsi sama dengan estrogen sintesis. Estrogen dalam tauge dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang, serta mencegah kerapuhan tulang ( osteoporosis )
Pengambilan tauge oleh wanita secara kerap dapat membantu mereka menghindar mereka dari kanser payudara, gangguan menjelang menstruasi,simptom pra-menopaus, dan gangguan akibat menopaus.
Sewaktu kacang-kacang dicambahkan untuk dijadikan tauge secara umum kadar saponinya meningkat sehingga 450 peratus. Mereka yang berisiko penyakit strok dan serangan jantung, gara -gara kadar lemak darah yang tinggi dianjurkan lebih banyak mengambil tauge dalam menu harian mereka. Saponi dalam tauge, menghalau "lemak jahat" LDL, tanpa mengganggu kandungan lemak baik HDL. Selain sarat DNA, tauge padat dengan antioksida kuat yang menghalang tubuh dari radikal bebas perosak sel DNA. Pelindungan ini menguatkan kesimpulan tauge merupakan sayuran yang membuat anda menjadi lebih muda .
Satu lagi khasiat tauge yang tidak kurang hebat adalah membantu membuang kotoran dalam usus besar kerana mengandungi banyak serat dan air. Inilah yang menjadi tunjang utama tauge dalam memerangi sel kanser. Apabila kotoran segera meniggalkan usus besar, tiada lagi zat-zat racun dalam kotoran yang yang dapat diserap tubuh. Ia akan mencegah pengumpulan bahan beracun yang dapat merangsang berseminya benih kanser. Selepas membaca kebaikan sayur tauge janganlah ragu-ragu lagi untuk mengambilnya. Jadi apalagi, mari kita ramai-ramai makan tauge hari-hari.

...moral of the story...jom makan taugeh banyak-banyak...