Khamis, 29 Julai 2010

.....syukur.....

salam.....

agak lama x up-date blog....

alhamdulillah...kesibukkan diri dan keluarga telah membawa kepada banyak perubahan dalam kehidupan...sesungguhnya hanya kesyukuran yang dapat di ucapkan....bertukar kerjaya dan bertukar tempat tinggal memberi satu pengalaman dan percaturan baru dalam hidup....semoga saya dan keluarga dapat menghadapinya dengan sebaik mungkin....

Isnin, 31 Mei 2010

...buat dia yang tersayang...

Memiliki seraut wajah yang garang, berkumis tebal, jarang memberikan senyuman mahupun gelak tawa, aduh...cukup mengerunkan. Tangan kasar itu pernah memukul, merotan mahupun memulas setiap cuping telinga anak-anaknya. Setiap kali mendengar deruman enjin kereta memasuki halaman rumah, serta merta semuanya kelihatan baik sahaja...
Walaupun hakikatnya dia seorang yang cukup garang dan tegas, semuanya untuk kebaikan. Setiap yang dia lakukan mempunyai alasan yang tersendiri. Tanggungjawab terhadap keluarga tidak pernah diabaikan. Sesusah manapun mencari rezeki bagi menyuap sebutir nasi ke mulut anak-anaknya,  dia tidak akan mengeluh. Lebih perit setiap kali menjelang musim perayaan dan sesi persekolahan bermula. Semuanya harus disediakan bermula dari anak sulung hingga yang kecil. Kami anak-anak sememangnya tidak memahami langsung, apa yang kami mahu semuanya baru. 
Dia mengidap penyakit yang cukup merbahaya, Kencing Manis. Bertahun-tahun dia melawan dan bertahan demi memastikan anak-anaknya dapat membesar dengan sempurna dan dapat melihat kejayaan anak-anaknya. Alhamdulillah anak sulung dia, berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Lebih membanggakan dia anak sulungnya lulusan luar negara. Dapat dilihat dengan jelas kebanggan itu dengan melihat riak di wajahnya serta caranya bercerita bersama teman-teman teksinya. Tetapi harapannya untuk melihat yang lain berjaya tidak kesampaian. Tuhan lebih menyayanginya. Penyakit itu terus merebak dan melumpuhkan pergerakkannya. Berbulan terbaring dan tidak dapat bergerak, kami dapat lihat kesengsaraan dia. Mungkin juga dia berdoa kepada tuhan supaya di cabut sahaja nyawanya, agar dia tidak perlu menyusahkan kami yang masih hidup. Di suatu subuh di bulan Mei, dia nazak dan akhirnya dia pergi menyahut seruan Illahi.

Buat Allahyarham Mohd Madabighi bin Hj Modzni, semoga rohmu aman disana dan ditempatkan di tempat mereka yang beriman.
(1997-2010)
*
*
*
*
*
*
*
Sukar untuk meneruskan penulisan ini kerana air mata membasahi pipi.....

Jumaat, 21 Mei 2010

.....hilang.....

Semuanya hilang...pergi entah kemana..puas dicari dan diterokai...namun masih gagal untuk diteruskan...kadangkala semangat datang memuncak..... di halangi dengan sikap yang datang acuh tak acuh...
Ya Tuhan...kembalikan semangat itu dalam diri ini...

Jumaat, 12 Februari 2010

...PEMALAS...

Seusia remaja, anak dara saya bukan seorang yang rajin untuk membuat semua kerja rumah. Saya akui adik lelaki saya beratus-ratus kali lebih rajin berbanding diri saya. Saya hanya melakukan perkara yang berkaitan dengan diri sahaja, membasuh kasut dan baju sekolah, kerana tiada siapa yang akan melakukan untuk saya. Tetapi perkara bijak yang saya lakukan ialah kesemua benda-benda ini saya masukkan ke dalam mesin basuh sahaja. Mudah dan senang.
Harian saya sibuk dengan aktiviti sekolah. Pagi seperti biasa ke sekolah dan sebelah petangnya ada latihan sukan hingga lewat petang. Sebelah malamnya pula untuk saya menyiapkan kerja sekolah (jika rajin). Alasan sibuk sentiasa saya berikan kepada mak jika mak meminta saya membantunya. Hujung minggu pula saya banyak habiskan masa bersama kawan-kawan keluar bersantai.
Bilik tidur sendiri tidak pernah saya kemas. Saya hanya bergantung harap pada mak. Leteran mak tidak pernah saya ambil peduli. Jika sebelah malamnya saya akan terjaga secara tiba-tiba kerana ada lipas yang melalui muka saya, adalah perkara biasa. Saya juga sudah lali dengan bunyi tikus yang keluar masuk dari bilik saya. Namun suatu hari kata-kata mak membuatkan saya sedikit tersentap.

"kalau hang dok malas macam ni, memang tak dak laki nak kawin dengan hang"....

kawin....

Selasa, 19 Januari 2010

FELDA IJOK, SELAMA


Setiap dua minggu sekali bapak akan membawa kali sekeluarga pulang ke kampung di sebelah mak.  Rumah arwah tokwan dan nenek terletak di Felda Ijok, Selama Perak. Perjalanan dari rumah mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Selalunya kami sekeluarga akan bertolak seawal pagi dan lewat petang baru balik semula ke rumah. Perjalanan yang panjang itu akan kami meriahkan dengan menyumbang suara yang pastinya cukup sumbang bila di dengar. 
Memandangkan rumah tokwan terletak di dalam kawasan felda, perjalanan ke rumah tokwan akan di hiasai terlebih dahulu dengan pepohon getah dan kelapa sawit. Di sekeliling rumah pula, tokwan menanam pelbagai jenis buahan tempatan. Ada durian, rambutan, langsat, jambu dan manggis. Setiba sahaja musim buahan, bonet kereta bapak akan penuh dengan pelbagai jenis buah-buahan. Itu tidak termasuk dengan pemberian jiran tetangga.
Setiap kali bapak mengajak saya dan bangcik untuk ke rumah tokwan, kami memang tidak pernah menolak. Memang kami ada tujuan bila ke sana. Selepas jumpa dan bersalam dengan mereka,  duduk dalam lima belas minit, kami akan hilang. Kami menuju ke sungai yang lebih kurang 200 meter dari rumah tokwan.  Bermandi-manda di sungai di rumah tokwan memang menyeronokkan. Tidak terkata nikmatnya. Air yang bersih dan jernih serta di kelilingi dengan dusun buah-buahan boleh membuatkan kami leka dan jika bapak tidak datang menjemput kami dengan sebatang kayu, kami boleh mandi hingga ke petang. Sebelah petangnya pula, kami akan meronda-ronda di kawasan felda bersama kawan-kawan.
Jika tokwan pula yang mempelawa kami untuk tinggal bersama mereka pada musim cuti sekolah, juga tidak pernah kami menolak. Kami tidak akan merasa bosan kerana sememangnya kami mempunyai ramai kawan di sana dan aktiviti kami akan penuh dari pagi hingga ke petang. Perkara yang paling saya gemari jika tinggal bersama mereka selain mandi sungai ialah semasa menangkap ayam kampung. Selalunya nenek yang suka menangkap ayam berbanding tokwan. Nenek akan tunggu sehingga lewat petang. Kesemua ayam-ayam tadi akan bertenggek di dahan pokok rambutan. Berbekalkan beberapa ketul batu, perlahan-lahan kami akan menuju ke pokok rambutan. Semasa ayam sedang leka, nenek sepantas kilat akan membaling batu ke arah ayam tersebut. Lantas kami juga turut membantu. Selalunya balingan nenek yang paling tepat.  Ayam yang terkena batu tidak lagi boleh berlari laju. Dengan mudah nenek menangkap dan habuan kami untuk makan malam adalah nasi berlaukkan ayam kampung yang cukup enak.........

Isnin, 4 Januari 2010

TAHUN BARU-1987

Memasuki tahun 1987 adalah tahun yang amat berharga pada kehidupan saya. Bermula pada tahun inilah saya melangkah ke alam persekolahan. Pengalaman baru, baju baru, kasut sekolah baru dan semuanya baru, telah memberi semangat baru kepada saya. Memang saya tidak sabar untuk ke sekolah. Cerita dari kakak-kakak dan abang menambahkan lagi keinginan saya untuk sekolah.

Pada hari itu, bapak menghantar saya ke sekolah bersama dengan adik-beradik yang lain. Cuma yang bezanya, mereka menuju ke kelas masing-masing. Bapak mengiringi saya untuk pendaftaran darjah satu. Cikgu Sharipah yang menyambut kedatangan kami. Setelah selesai urusan pendaftaran dan pembayaran yuran, bapak memberi wang saku. Kemudian bapak berpesan:-

"Yoi, belajaq rajin-rajin tau. Bapak tak boleh tunggu hang kat sekolah. Bapak kena kerja. Deganq apa cikgu cakap. Jangan lawan cakap cikgu. Waktu rehat pi makan kat kantin. Kalau hang tak tau tanya kak ida atau abang. Nanti balik tunggu bapak depan sekolah. Bapak ambik.Bapak pi dulu".

Bapak meninggalkan saya dalam keadaan terkontang-kanting. Tapi saya bukan seperti murid yang lain, saya tidak menangis. Saya duduk di kerusi menunggu arahan cikgu yang seterusnya. Loceng pertama berbunyi dan kami dikehendaki beratur di tapak perhimpunan. Cikgu menyusun barisan kami. Saya di belakang sekali disebabkan ketinggian saya. Begitu juga dalam kelas. Saya tidak boleh duduk di hadapan kerana akan menjadi penghalang pada pemandangan bagi pelajar yang lebih rendah daripada saya.

Saya berbangga kerana dapat melalui hari pertama persekolahan dengan jayanya. Saya dapat mengharungi cabaran tanpa menyusahkan sesiapa pun. Walaupun kakak ada menjenguk saya di kelas tapi saya menyatakan bahawa saya ok. Saya menurut segala apa yang telah bapak pesan. Rekod disiplin saya bersih sehingga saya darjah 6.

-SEKOLAH KEBANGSAAN SERI SIAKAP, SIMPANG 3, KUALA KURAU, PERAK-