Khamis, 26 November 2009

Raya Korban


Bagi kami adik-beradik tiada perbezaan antara Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Korban. Ke dua-duanya mesti disambut dalam suasana yang meriah. Menjelang malam Hari Raya Korban kami akan bermain mercun dan bunga api, cuma yang bezanya tiada lampu pelita sahaja untuk menghiasi halaman rumah. Mak di dapur sibuk menyediakan juadah raya. Nasi impit, kuah kacang, pulut daun pisang dan rendang akan siap tersedia di atas meja di pagi raya.
Di pagi raya, melihat senario orang kampung mengejar lembu yang terlepas dari tambatan adalah perkara biasa atau melihat kepayahan orang kampung menarik keluar lembu yang terjatuh di dalam parit adalah sesuatu yang melucukan pada kami. Selepas sembahyang sunat raya, bapak dan abang akan bersiap-siap menyertai orang kampung untuk menyertai ibadah korban. Walaupun telah dilarang oleh bapak untuk tidak sibukkan diri tetapi tiada apa yang dapat menghalang kami untuk tidak pergi ke tempat lembu yang akan disembelih. Selepas bapak pergi kami akan menyusul dari belakang. Jelingan tajam bapak tidak kami hiraukan, yang penting kami dapat melihat lembu di sembelih. Kami akan menunggu sehingga semuanya selesai. Bapak akan mengarahkan kami untuk membawa pulang bahagian keluarga kami. Memang rezeki, bapak akan dapat membawa pulang tulang kaki lembu. Mak akan membuat sup tulang. Bangcik akan ditugaskan untuk menyalakan api. Bapak lebih suka sup dimasak menggunakan kayu api berbanding dapur gas, lebih sedap katanya.
Selalunya memang setiap tahun bapak mengambil bahagian menyertai ibadah korban untuk mengorbankan anak-anaknya yang seramai 9 orang ini. Bila tiba masa saya, bersama bapak saya di bawa melihat lembu yang akan di korbankan.Saya tanya bapak:-

Bapak, pasaipa lembu dikyoi kaler hitam

padanlah dengan hang....

Khamis, 19 November 2009

Keluarga II


Kenakalan kami adik-beradik bukan setakat itu sahaja, malah kenakalan kami kadangkala menyebabkan berlakunya kemalangan. Sedia umum, rumah saya di kampung terletak di tepi jalan raya besar.
Adik saya (Awe) pernah membaling batu pada kereta yang lalu lalang hingga menyebabkan ada kereta yang retak cermin tingkapnya. Awe akan berlari masuk ke dalam rumah dan menyorok di bawah katil. Saya, sebagai kakak mestilah melindungi adiknya. Sebenarnya terlalu banyak kenakalannya untuk saya ceritakan. Keluar masuk hospital akibat jatuh dari pokok, melanggar kereta adalah perkara biasa sewaktu kecilnya.
Ceritan lain, saya dan bangcik suka berkongsi basikal bersama. Jika saya mengayuh, bangcik akan jadi pemboncengnya, begitulah sebaliknya.Kami akan mengayuh selaju yang mungkin. Akibatnya, saya sudah beberapa kali jatuh tergolek di atas jalan raya. Tuhan masih panjangkan umur saya, setiap kali jatuh tiada satu pun kenderaan yang akan lalu pada masa itu.
Berbeza dengan bangcik, kerana tiada keinsafan dalam diri dan kecuaian saya, dia jatuh hingga menyebabkan tulang sikunya terkeluar dan kekal sebegitu hingga kini. Puncanya, saya berbohong. Saya telah mengetahui bahawa kelas Fardhu Ain pada hari tersebut telah di batalkan. Kami tetap bersiap-siap seperti biasa(maksud, kami akan melencong ke tempat lain).
Kami ketakutan dan mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan tidak terus balik ke rumah untuk memaklumkan tentang keadaan bangcik. Bangcik kesakitan. Saya memaksa bangcik duduk di dalam bilik diam-diam dan berlagak tidur. Akhirnya, lewat petang baru saya berterus-terang dengan bapak. Tapi dah terlambat, tangan bangcik sudah tidak boleh di betulkan semula.
selepas peristiwa itu, sebagai hukuman saya dan bangcik dilarang untuk menaiki basikal selama beberapa bulan. Bapak akan menghantar kami ke sekolah setiap hari. Jika hendak keluar bermain, kami akan berjalan kaki.

Isnin, 16 November 2009

keluarga...



Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang besar memang menyeronokkan, dimana hubungan itu tetap akrab sehingga kini. Dengan mempunyai 9 orang adik-beradik (5 perempuan & 4lelaki) membawa kepada sebuah keluarga yang penuh dengan ragam dan pelbagai wataknya. Dari seorang ulat buku kepada seorang yang sensitif, kuat tidur, peramah, keras kepala serta bermacam karenah telah membuatkan keluarga ini tidak pernah sunyi dari keriuhannya tersendiri. Adengan pergaduhan, kejar-mengejar, rambut ditarik sesama sendiri, tidak boleh berkongsi tempat tidur merupakan perkara yang membolehkan kita tertawa sendiri bila mengingatinya semula.
Saya, anak ke-4, termasuk dalam kategori yang nakal.Bersama 2 orang lagi adik yang lain, kami bertiga cukup untuk membuatkan hati kedua orang tua gelisah. Jika yang lain sibuk untuk ke kelas mengaji Al-Quran, kami akan sibuk mencari kawan untuk bermain. Berperang, menangkap ikan laga, berkubang di tali air adalah aktiviti harian. Walaupun tali pinggang arwah ayah dan rotan acapkali singgah di betis kaki, tetapi itu sikit pun tidak pernah membuatkan kami serik.
Benar, zaman kanak-kanak kita tidak pernah mengenali apa itu kesakitan, cuma yang kita tahu apa itu erti keseronokkan dan yang pasti ia tidak akan berulang kembali.

Jumaat, 13 November 2009

cabaran...

orang kata hidup kalau tiada cabaran umpama hidup kurang gula hilang manisnya, kurang garam tiada masinnya. mungkin ya atau tidak. bergantung pada pandangan masing-masing.kadang-kadang cabaran membawa kepada kebaikan dan kadangkala membawa kita kepada kesusahan. semua cabaran itu membawa kita kepada satu pengalaman.....

Khamis, 12 November 2009

percubaan....percubaan...

salam....

percubaan pertama...he he he...
boleh ka saya ber blog...insyaallah...