Isnin, 4 Januari 2010

TAHUN BARU-1987

Memasuki tahun 1987 adalah tahun yang amat berharga pada kehidupan saya. Bermula pada tahun inilah saya melangkah ke alam persekolahan. Pengalaman baru, baju baru, kasut sekolah baru dan semuanya baru, telah memberi semangat baru kepada saya. Memang saya tidak sabar untuk ke sekolah. Cerita dari kakak-kakak dan abang menambahkan lagi keinginan saya untuk sekolah.

Pada hari itu, bapak menghantar saya ke sekolah bersama dengan adik-beradik yang lain. Cuma yang bezanya, mereka menuju ke kelas masing-masing. Bapak mengiringi saya untuk pendaftaran darjah satu. Cikgu Sharipah yang menyambut kedatangan kami. Setelah selesai urusan pendaftaran dan pembayaran yuran, bapak memberi wang saku. Kemudian bapak berpesan:-

"Yoi, belajaq rajin-rajin tau. Bapak tak boleh tunggu hang kat sekolah. Bapak kena kerja. Deganq apa cikgu cakap. Jangan lawan cakap cikgu. Waktu rehat pi makan kat kantin. Kalau hang tak tau tanya kak ida atau abang. Nanti balik tunggu bapak depan sekolah. Bapak ambik.Bapak pi dulu".

Bapak meninggalkan saya dalam keadaan terkontang-kanting. Tapi saya bukan seperti murid yang lain, saya tidak menangis. Saya duduk di kerusi menunggu arahan cikgu yang seterusnya. Loceng pertama berbunyi dan kami dikehendaki beratur di tapak perhimpunan. Cikgu menyusun barisan kami. Saya di belakang sekali disebabkan ketinggian saya. Begitu juga dalam kelas. Saya tidak boleh duduk di hadapan kerana akan menjadi penghalang pada pemandangan bagi pelajar yang lebih rendah daripada saya.

Saya berbangga kerana dapat melalui hari pertama persekolahan dengan jayanya. Saya dapat mengharungi cabaran tanpa menyusahkan sesiapa pun. Walaupun kakak ada menjenguk saya di kelas tapi saya menyatakan bahawa saya ok. Saya menurut segala apa yang telah bapak pesan. Rekod disiplin saya bersih sehingga saya darjah 6.

-SEKOLAH KEBANGSAAN SERI SIAKAP, SIMPANG 3, KUALA KURAU, PERAK-

Tiada ulasan: