Khamis, 26 November 2009

Raya Korban


Bagi kami adik-beradik tiada perbezaan antara Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Korban. Ke dua-duanya mesti disambut dalam suasana yang meriah. Menjelang malam Hari Raya Korban kami akan bermain mercun dan bunga api, cuma yang bezanya tiada lampu pelita sahaja untuk menghiasi halaman rumah. Mak di dapur sibuk menyediakan juadah raya. Nasi impit, kuah kacang, pulut daun pisang dan rendang akan siap tersedia di atas meja di pagi raya.
Di pagi raya, melihat senario orang kampung mengejar lembu yang terlepas dari tambatan adalah perkara biasa atau melihat kepayahan orang kampung menarik keluar lembu yang terjatuh di dalam parit adalah sesuatu yang melucukan pada kami. Selepas sembahyang sunat raya, bapak dan abang akan bersiap-siap menyertai orang kampung untuk menyertai ibadah korban. Walaupun telah dilarang oleh bapak untuk tidak sibukkan diri tetapi tiada apa yang dapat menghalang kami untuk tidak pergi ke tempat lembu yang akan disembelih. Selepas bapak pergi kami akan menyusul dari belakang. Jelingan tajam bapak tidak kami hiraukan, yang penting kami dapat melihat lembu di sembelih. Kami akan menunggu sehingga semuanya selesai. Bapak akan mengarahkan kami untuk membawa pulang bahagian keluarga kami. Memang rezeki, bapak akan dapat membawa pulang tulang kaki lembu. Mak akan membuat sup tulang. Bangcik akan ditugaskan untuk menyalakan api. Bapak lebih suka sup dimasak menggunakan kayu api berbanding dapur gas, lebih sedap katanya.
Selalunya memang setiap tahun bapak mengambil bahagian menyertai ibadah korban untuk mengorbankan anak-anaknya yang seramai 9 orang ini. Bila tiba masa saya, bersama bapak saya di bawa melihat lembu yang akan di korbankan.Saya tanya bapak:-

Bapak, pasaipa lembu dikyoi kaler hitam

padanlah dengan hang....