Khamis, 19 November 2009

Keluarga II


Kenakalan kami adik-beradik bukan setakat itu sahaja, malah kenakalan kami kadangkala menyebabkan berlakunya kemalangan. Sedia umum, rumah saya di kampung terletak di tepi jalan raya besar.
Adik saya (Awe) pernah membaling batu pada kereta yang lalu lalang hingga menyebabkan ada kereta yang retak cermin tingkapnya. Awe akan berlari masuk ke dalam rumah dan menyorok di bawah katil. Saya, sebagai kakak mestilah melindungi adiknya. Sebenarnya terlalu banyak kenakalannya untuk saya ceritakan. Keluar masuk hospital akibat jatuh dari pokok, melanggar kereta adalah perkara biasa sewaktu kecilnya.
Ceritan lain, saya dan bangcik suka berkongsi basikal bersama. Jika saya mengayuh, bangcik akan jadi pemboncengnya, begitulah sebaliknya.Kami akan mengayuh selaju yang mungkin. Akibatnya, saya sudah beberapa kali jatuh tergolek di atas jalan raya. Tuhan masih panjangkan umur saya, setiap kali jatuh tiada satu pun kenderaan yang akan lalu pada masa itu.
Berbeza dengan bangcik, kerana tiada keinsafan dalam diri dan kecuaian saya, dia jatuh hingga menyebabkan tulang sikunya terkeluar dan kekal sebegitu hingga kini. Puncanya, saya berbohong. Saya telah mengetahui bahawa kelas Fardhu Ain pada hari tersebut telah di batalkan. Kami tetap bersiap-siap seperti biasa(maksud, kami akan melencong ke tempat lain).
Kami ketakutan dan mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan tidak terus balik ke rumah untuk memaklumkan tentang keadaan bangcik. Bangcik kesakitan. Saya memaksa bangcik duduk di dalam bilik diam-diam dan berlagak tidur. Akhirnya, lewat petang baru saya berterus-terang dengan bapak. Tapi dah terlambat, tangan bangcik sudah tidak boleh di betulkan semula.
selepas peristiwa itu, sebagai hukuman saya dan bangcik dilarang untuk menaiki basikal selama beberapa bulan. Bapak akan menghantar kami ke sekolah setiap hari. Jika hendak keluar bermain, kami akan berjalan kaki.