Selasa, 22 Disember 2009

Pra Sekolah




Seusia 5 dan 6 tahun bapak telah menghantar saya ke sekolah tadika. Bapak memilih tadika kemas. Sememangnya pada zaman itu tadika kemas yang paling popular di tempat saya. Sengaja bapak berbuat begitu dengan alasan saya dapat mendisiplinkan diri dari awal. Usia 5 tahun saya di hantar di tadika Batu 7 dan usia 6 tahun di tadika Simpang 3. Sekolah bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pukul 11.30 pagi. Jangka waktu yang cukup singkat tetapi penuh dengan ilmu pengetahuan. Memang seronok dapat ke sekolah. Duduk dalam bulatan yang besar untuk perkenalkan diri adalah sesuatu yang amat menyeksakan saya pada waktu itu. Walaupun masih kanak-kanak tetapi perasaan malu itu tetap ada. Setiap pagi sebelum masuk ke kelas, kami akan bersukan dan membaca ikrar. Acara sukan yang paling saya minati ialah jalan itik. Di sebabkan saya dalam kategori pelajar yang tinggi maka saya dapat melangkah dengan panjang dan sering menjadi juara.
Sejujurnya di awal pendidikan inilah saya mengenali apa itu ABC dan 123. Saya tidak pernah mendapat semua itu di rumah. Bukan tiada kesempatan untuk belajar dengan kakak-kakak dan abang tetapi saya lebih sibuk untuk bermain.  Setelah dapat mengenali apa itu huruf, akhirnya saya dapat mengeja sedikit demi sedikit. Selain itu kami juga didedahkan dengan aktiviti seperti menyanyi, mewarna, dan bercerita. Juga menjadi satu kenangan manis adalah semasa waktu makan, kami akan beratur untuk mengambil makanan dan minuman. Tidak pernah berebut-rebut. Di sekolah saya menjadi seorang yang cukup berdisiplin. Menjadi masalah apabila saya pulang ke rumah, ia menjadi sebaliknya. Semuanya menjadi haru-biru. Itulah yang membuatkan bapak pening kepala. Rekod di sekolah cukup bersih tetapi di rumah tetap tidak berubah.

Namun di hujung tahun tadika, saya di kejutkan dengan sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan. Kami beramai-ramai duduk di dalam bulatan yang besar dan harus menunjukkan bakat masing-masing. Ada yang menyanyi, menari, berlakon dan bercerita. Semunya berjalan lancar sehingga ada seorang pelajar lelaki telah melakukan aksi terlampau. Dengan tidak ada perasaan bersalah, dia melondehkan seluarnya dan menunjukkan aksi tarian bogel. Kami semua menjerit. Saya fobia untuk ke sekolah.


1 ulasan:

PPT berkata...

Tu dia...
Dah kantoi.... tengok orang lain..